Penerbitan Gadis Jolobu The Movie

Gadis Jolobu The Movie ialah karya pertama yang dihasilkan menerusi projek mega 12 filem dalam tempoh 24 bulan dan merupakan antara karya berteraskan dialek Malaysia yang memberi tumpuan kepada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.[4][5] Filem ini ialah projek mega yang dimeterai antara syarikat hiburan Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio.[1]

Pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata idea untuk menghasilkan filem ini tercetus apabila beliau bertemu dengan Hattan pada 2019 berikutan kejayaan lagu duet Hattan bersama W.A.R.I.S, "Gadis Jolobu" yang meraih tontonan tinggi hampir 10 juta di YouTube.[1][6] Beliau berkata:

"Idea menghasilkan filem diberikan Hattan, tiga tahun lalu selepas melihat sambutan terhadap lagu "Gadis Jolobu". Bagaimanapun, belum sempat memulakan perancangan pos produksi, dunia diserang pandemik COVID-19. Hanya kini kerja pos produksi dapat dimulakan."

CL Hor, yang sebelum ini berpengalaman menghasilkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan, dipilih sebagai pengarah. Hor turut berkhidmat sebagai penulis skrip bersama Bobo Ikmal. Menurut Hor, filem ini mengetengahkan budaya Malaysia dan ia merupakan "filem budaya yang sangat berwarna-warni dengan sinematografi etnik persekitaran kampung, ditambah pula elemen komedi yang mempamerkan sebahagian daripada Malaysia kepada mata dunia,".[1]

Hattan, Joey Daud dan Khir Rahman melakonkan watak utama, bersama pendatang baharu yang juga anak perempuan pengamal media, Ahirudin Attan, Ahirine Ahirudin.[1] Hattan berkata, beliau banyak menolak tawaran lakonan selepas membintangi filem Rock Bro! pada 2016 kerana ia memenatkan, namun menurutnya, filem yang mengetengahkan dialek Negeri Sembilan ini amat dinantikannya.[7][8][9] Beliau menyifatkan filem ini ialah naskhah yang mengangkat budaya Negeri Sembilan dan berkata: "Sebab ini ialah naskhah [yang] mengangkat budaya Negeri Sembilan. Sebelum ini, ramai menghasilkan filem dalam dialek negeri lain, tak ramai pilih dalam dialek Negeri Sembilan. Jadi, saya fikir siapa lagi mahu perjuangkan dialek Negeri Sembilan jika bukan saya sendiri. Jadi, saya terpanggil untuk menerima tawaran filem ini,".[6]

Ahirine yang berpengalaman sebagai wartawan dan pengacara, diberi kepercayaan membawa watak heroin buat kali pertama, selain berpeluang bekerjasama dengan Hattan, Khir dan Joey.[10] Ahirine dipilih menerusi proses uji bakat. Menurut Saraleana, Ahirine bukan sahaja memiliki kecantikan asli, malah, sanggup belajar dialek Negeri Sembilan walaupun dibesarkan di bandar.[8] Penggambaran dijalankan di Kampung Lonek, Negeri Sembilan, pada Mac 2022 dan mengambil masa selama 14 hari untuk disiapkqn.[1]

Rujukan

WikiPedia: Gadis Jolobu The Movie http://www.imdb.com/title/tt21301486/ https://www.femagonline.com/2022/08/review-gadis-j... https://gempak.com/berita-terkini/gadis-jolobu-mov... https://utusantv.com/2022/08/02/video-gadis-jolobu... https://bebasnews.my/2022/08/04/gadis-jolobu-the-m... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2022/... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2022/... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2022/... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2022/... https://www.hmetro.com.my/rap/2022/03/815750/hatta...